Ahmad Zahid memeriksa perbarisan semasa buat lawatan ke Ibu Pejabat Kontinjen Sabah, di Kota Kinabalu. FOTO Edmund Samunting
Ahmad Zahid memeriksa perbarisan semasa buat lawatan ke Ibu Pejabat Kontinjen Sabah, di Kota Kinabalu. FOTO Edmund Samunting
Kristy Inus and Mohd Izham Unnip Abdullah

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sudah membuka kertas siasatan berhubung sindiket menjual MyKad palsu berikutan laporan mengenai ahli kumpulan pengganas dikesan memiliki dokumen itu, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan dilakukan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan polis.

Beliau berkata, JPN dan Jabatan Imigresen juga sudah mengambil langkah segera meningkatkan pemeriksaan terutama di semua pintu masuk dan keluar melalui udara.

“Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen (Datuk Seri Mustafar Ali) untuk meletakkan anggota bagi melakukan imbasan secara rawak.

“Ini bagi mengesan sama ada kad pengenalan yang digunakan itu palsu atau tidak. Kita sudah ambil langkah ini lebih awal sebelum ini.

“Jadi kita sudah ambil langkah supaya pemegang kad pengenalan palsu tidak terlepas daripada JPN dan imigresen,” katanya sambil menambah beberapa tangkapan turut dibuat berhubung kes itu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mendengar taklimat sempena lawatannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kepayan, dekat Kota Kinabalu, petang tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas laporan berita baru-baru ini bahawa elemen berisiko tinggi dapat meloloskan diri ke negara ini menggunakan kad pengenalan palsu.

Dalam satu laporan eksklusif pada 12 Februari lalu, NSTP mendedahkan elemen berisiko tinggi termasuk pengganas asing menyusup masuk ke negara ini menggunakan dokumen pengenalan Malaysia.

Ia termasuk suspek pengganas dari Filipina yang masuk secara haram ke Sabah bagi mendapatkan dokumen sebelum ke Semenanjung dengan ada antaranya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Menjawab soalan mengenai sindiket yang beroperasi dari Sabah, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan terus memantau situasi di seluruh negara walaupun tiada tangkapan di negeri lain.

Katanya, kedudukan Sabah yang dekat dengan negara jiran memudahkan sindiket beroperasi dari negeri ini.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera untuk menaik taraf kemudahan berek atau tempat tinggal anggota polis di semua 20 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Sabah dan lima batalion Pasukan Gerakan Am (PGA), selain Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Dalam hal lain, Ahmad Zahid berkata pihaknya akan meneliti cadangan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berhubung penubuhan Jabatan Keselamatan Aktiviti Air bagi menangani kes lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 9:38 PM