ORANG ramai yang mengunjungi hari terakhir MBW 2018, semalam.
ORANG ramai yang mengunjungi hari terakhir MBW 2018, semalam.
Idris Musa dan Lizam Ridzuan

Serdang: Seakan ditawan jentera dua roda apabila lebih 350,000 peminat motosikal ‘membanjiri’ Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, sepanjang tiga hari berlangsungnya Minggu Permotoran Malaysia atau Malaysia Bike Week (MBW 2018).

Program anjuran Persekutuan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO) itu ternyata berjaya mencapai matlamatnya apabila menarik peminat jentera dua roda dari seluruh negara.

Malah, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar turut berkenan mencemar duli merasmikan MBW 2018 sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamid.

Presiden GPMOTO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kehadiran begitu ramai pengunjung sepanjang MBW 2018 dianjurkan melebihi sasaran awal sekitar 100,000 orang.

“Saya melihat penganjuran sebegini melewati batasan politik apabila semua peminat jentera dua roda berkumpul tanpa mengira jenis dan kuasa enjin demi berkongsi pandangan dan minat dalam satu acara,” katanya yang ditemui ketika acara penutup semalam.

Sebaik pameran dibuka jam 9 pagi pelbagai aktiviti dianjurkan di pentas utama seperti zumba, sesi ramah mesra bersama selebriti TV3, aksi ‘stunt’ motosikal dan cabutan nombor bertuah.

Cuaca panas di luar tidak menghalang pengunjung untuk terus berada sehingga lewat petang untuk menyertai aktiviti yang diadakan daripada pempamer yang terbabit seperti Kelab Storm Rider yang membuka keahlian secara percuma.

Paling menarik ialah Koleksi Kenderaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang diadakan di dalam Dewan A seperti motosikal Harley-Davidson, bas ‘coach’, kenderaan tiga roda dan pacuan empat roda serta trak Mack.

Pengunjung yang hadir, Khairul Shahrin Mohd Yusof dari Shah Alam berkata dia mengetahui MBW 2018 melalui berita di televisyen serta akhbar dan berpeluang datang pada hari terakhir acara.

“Sudah pasti kenderaan milik Sultan Johor menjadi perhatian kerana ia jarang-jarang sekali dipamerkan untuk tontonan umum,” katanya yang juga seorang jurutera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 3:56 AM