SITI Aisyah dan Doan diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Tinggi, semalam.
SITI Aisyah dan Doan diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Tinggi, semalam.
Sarah Zulkifli

Shah Alam: Pihak pembelaan berhujah di Mahkamah Tinggi di sini, semalam pembunuhan ke atas lelaki warga Korea Utara, Kim Chol adalah pembunuhan bermotifkan politik negara itu.

Peguam Gooi Soon Seng yang mewakili tertuduh pertama, Siti Aisyah, 26, berkata, ini berikutan pembabitan pihak kedutaan Korea Utara yang membantu empat suspek warga negara itu melarikan diri dari negara ini sebaik pembunuhan berkenaan berlaku.

“Dengan ketiadaan empat lelaki warga Korea Utara ini untuk dibicarakan di mahkamah, kes pembunuhan ini kekal misteri,” katanya.

Menurut Gooi, selain itu, keempat-empat lelaki yang masih bebas itu didakwa menukar pakaian selepas kejadian pembunuhan bagi mengelak identiti mereka dikenal pasti.

Empat lelaki itu ialah Mr Y (Ri Ji Hyon), Hanamori (Ri Jae Nam), Mr Chang (Hong Song Hac) dan James (O Jong Gil).

Gooi berkata, dalam kejadian itu, Siti Aisyah tidak memakai sarung tangan sedangkan racun agen VX ialah senjata kimia berbahaya yang boleh menyebabkan kematian dalam tempoh yang singkat.

“Jika Siti Aisyah mengetahui bahaya VX itu, dia pasti memakai sarung tangan kerana khuatir keselamatan dirinya.

“VX cecair yang sukar diuraikan dan melekit selain susah dicuci serta mudah merosakkan kuku bagi sesiapa yang memegangnya,” katanya.

Menurut peguam itu, laporan kimia juga menunjukkan tiada kesan racun VX pada keratan kukunya, tetapi ia dapat dikesan pada keratan kuku Doan.

Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata, empat lelaki warga Korea yang masih bebas ialah pembunuh sebenar dan bukannya anak guamnya, Doan Thi Huong, 29, yang juga warga Vietnam.

“Doan tidak mempunyai niat untuk membunuh Kim Chol selain tidak mengetahui cecair yang diberikan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Mr Y ialah senjata berbahaya dan boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Datuk Hakim Azmi Ariffin bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 4:00 AM