KEADAAN kereta Honda Civic FD yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 58, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Rantau Abang yang mengorbankan seorang pemuda, Muhammad Shukri Mohd Ariffen, 23 manakala dua rakannya cedera. FOTO Rosli Ilham
KEADAAN kereta Honda Civic FD yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 58, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Rantau Abang yang mengorbankan seorang pemuda, Muhammad Shukri Mohd Ariffen, 23 manakala dua rakannya cedera. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


LELAKI maut, manakala dua sahabatnya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 58, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, dekat Rantau Abang, hari ini.

Dalam kemalangan 12.10 tengah hari tadi, Muhammad Shukri Mohd Ariffen, 23, dari Kampung Aur Cendering, Kuala Terengganu, disahkan meninggal selepas kira-kira sejam dirawat di Hospital Dungun.

Mangsa yang tercampak keluar daripada kenderaan parah di kepala, patah tengkuk dan kecederaan dalaman badan dan dikejarkan ke Hospital Dungun dengan ambulans.

Dua sahabat mangsa, Muhammad Syazwan Aziz, 22, yang memandu kereta terbabit dan Mohammad Rifaie Mohd Zaman, 21, dilaporkan cedera dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, untuk menerima rawatan.

Ketika kejadian, ketiga-tiga sahabat baik itu yang tinggal di Chendering, Kuala Terengganu dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu untuk ke Kerteh, Kemaman.

Setibanya di tempat kejadian, kereta Honda Civic dipandu Mohammad Syazwan dipercayai hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan dan tiang elektrik di situ, menyebabkan kereta berkenaan terbalik beberapa kali.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Abdul Razak Hasan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menjelaskan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 6:02 PM