SEJUMLAH 200 penghuni hilang tempat tinggal dalam kebakaran malam kelmarin.
SEJUMLAH 200 penghuni hilang tempat tinggal dalam kebakaran malam kelmarin.
Erika George


Bintulu: Mimpi ngeri penduduk Rumah Panjang Nyipa Tinggang di Nanga Pandan, Sebauh di sini, 29 tahun lalu, berulang selepas lebih separuh kediaman mereka musnah dalam kebakaran malam kelmarin.

Ia kejadian kedua menimpa 406 penduduk rumah panjang itu yang sebahagian besarnya etnik Punan, selepas insiden pertama berlaku pada 1989 memusnahkan hampir keseluruhan kediaman mereka ketika itu.

Pada kejadian jam 9 malam kelmarin, 200 penghuni hilang tempat tinggal selepas 36 daripada 63 kediaman di rumah panjang berkenaan terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Mohamad Meramit berkata, pihaknya bergegas ke lokasi yang terletak 67 kilometer dari pusat bandar sejurus menerima panggilan kebakaran, jam 9.21 malam.

“Tiba di lokasi, kami dapati api sedang marak. Kami menggunakan kaedah kawalan api bagi mengawal kebakaran daripada merebak
ke kediaman lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut beliau, pihaknya mengambil masa hampir dua jam untuk memadamkan api sebelum kebakaran dikawal sepenuhnya, jam 10.50 malam.

“Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sebauh, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Klinik Kesihatan Sebauh membantu menguruskan penghuni yang terjejas.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana penghuni sempat menyelamatkan diri sejurus menyedari kebakaran.

“Kami berterima kasih kepada penduduk rumah panjang berkenaan yang turut membantu anggota bertugas memadamkan kebakaran, selain menyelamatkan barangan berharga dan dokumen penting,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 6:32 AM