ISMAIL Sabri (tengah) bersama penerima pada Majlis Penyerahan MobilePreneur@KKLW Negeri Kedah dan Perlis, semalam.
ISMAIL Sabri (tengah) bersama penerima pada Majlis Penyerahan MobilePreneur@KKLW Negeri Kedah dan Perlis, semalam.
Muhaamad Hafis Nawawi


Jitra: Program Usahawan Bergerak Mobilepreneur yang dilaksanakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) membuka peluang perniagaan kepada belia dan menepis dakwaan sesetengah pihak kerajaan tidak memberi perhatian kepada golongan berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, melalui Mobilepreneur, KKLW membantu 3,500 belia khususnya dari luar bandar menjalankan perniagaan tanpa membuka premis.

Menurutnya, tahun ini, pihaknya menyasarkan 1,000 lagi belia membabitkan peruntukan RM10 juta menjalankan perniagaan berasaskan konsep perkhidmatan secara bergerak.

ISMAIL Sabri diiringi Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangun Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah Datuk Mohd Tajuddin Abdullah melihat kotak yang dipasang pada motosikal.
ISMAIL Sabri diiringi Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangun Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah Datuk Mohd Tajuddin Abdullah melihat kotak yang dipasang pada motosikal.

“Belia sekarang kebanyakannya suka berniaga, malah ada yang menjalankan perniagaan secara dalam talian sejak di universiti.

“Jadi kerajaan membantu mereka menjalankan perniagaan antaranya melalui Mobilepreneur dan GETS Graduate Employability Training Scheme kerana trend sekarang ramai belia gemar berniaga, ” katanya pada sidang media selepas menyerahkan Mobilepreneur@KKLW peringkat Kedah dan Perlis kepada 76 belia yang terbabit dalam perniagaan perkhidmatan di Dewan Jitra di sini, semalam.

Beliau berkata, setiap orang diberi bantuan RM10,000 membabitkan sebuah motosikal yang dipasang dengan kotak peralatan, set peralatan kemahiran dan kursus.

“Tahun lalu, kita membelanjakan RM30 juta membantu 3,000 usahawan Mobilepreneur yang berusia 18 hingga 45 tahun.

“Melalui Mobilepreneur, kita dapati 86 peratus daripada usahawan yang mengikuti program ini mendapat kenaikan pendapatan hingga 30 peratus,” katanya.

MOTOSIKAL yang diserahkan kepada penerima pada program Mobilepreneur@KKLW peringkat Kedah dan Perlis.
MOTOSIKAL yang diserahkan kepada penerima pada program Mobilepreneur@KKLW peringkat Kedah dan Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 4:13 AM