Suspek kes pembunuhan Juruteknologi Pergigian di Lukut, Port Dickson dibawa ke lokasi pembunuhan. Foto Adzlan Sidek dan Mohd Khidir Zakaria
Suspek kes pembunuhan Juruteknologi Pergigian di Lukut, Port Dickson dibawa ke lokasi pembunuhan. Foto Adzlan Sidek dan Mohd Khidir Zakaria
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria


SUSPEK utama kes pembunuhan Juruteknologi Pergigian di Lukut, Port Dickson, Mahussin Abd Rahim, 28, direman tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa minggu depan di Mahkamah Khas Reman, Seremban bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, reman dibenarkan Penolong Pendaftar mahkamah, Norhayatie Mohd Said sebaik ia dikemukakan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Zakaria Zainal.

Katanya, suspek dicekup di rumahnya di Johor Bahru, 9 malam, semalam selepas 10 jam fotonya disebarkan.

Katanya, pihaknya kini menjalankan soal siasat dan siasatan terperinci untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati suspek berusia 19 tahun dibawa sepasukan anggota polis ke lokasi di Kuarters Klinik Kesihatan Lukut iaitu tempat mayat Mahussin ditemui.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan suspek berjaya dicekup di Johor Bahru bersama rampasan motosikal dan topi keledar milik mangsa yang berada bersamanya.

Siasatan polis sebelum itu mendapati mangsa dikesan berada di sebuah restoran makanan segera di Nong Chik, Johor Bahru sehari selepas pembunuhan bersama kenderaan mangsa.

Harian Metro pada 23 Januari lalu melaporkan mayat Mahussin ditemui di rumahnya di kuarters itu selepas 72 jam tidak kelihatan.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa dibunuh apabila terdapat hentakan benda keras di kepalanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita berkaitan:

Lelaki diburu tertangkap

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 1:23 PM