TERTUDUH bertongkat keluar dari mahkamah. FOTO Zuhairi Zuber.
TERTUDUH bertongkat keluar dari mahkamah. FOTO Zuhairi Zuber.
Mohd Hilmie Hussin


LELAKI dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini, atas tuduhan mengacu pisau hingga mencederakan leher isterinya.

Tertuduh, Muhammad Rafi Md Taib, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa di depan Majistret Norina Maludin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja mengacu pisau pada leher isterinya, Norazian Adam, 39, hingga cedera pada 1.15 petang, 16 Disember 2017, di sebuah rumah di Kampung Alai.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria mencadangkan jaminan RM8,000 dan tertuduh yang tidak diwakili peguam, tidak membuat rayuan.

Norina kemudian menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Muhammad Rafi mengaku tidak bersalah terhadap tiga lagi pertuduhan iaitu melakukan samun hingga mendatangkan cedera kepada mangsa, melarikan diri daripada pemeriksaan polis dan memiliki senjata berupa pisau tanpa kebenaran.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 394 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).

Pengakuan tidak bersalah Muhammad Rafi itu dibuat di depan Hakim Norma Ismail sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvina Mohd Rawi yang mengendalikan kes itu mencadangkan kepada mahkamah untuk tidak menawarkan jaminan dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kemungkinan mangsa yang menjadi saksi pendakwaan diganggu tertuduh.

Selepas mendengar hujahan, Norma tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Februari ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 5:30 PM