LIM (kiri) bersama Pengarah Jualan dan Pemasaran Legoland, Thila Munusamy  ketika  sesi bersama media.
LIM (kiri) bersama Pengarah Jualan dan Pemasaran Legoland, Thila Munusamy ketika sesi bersama media.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Legoland Malaysia Resort (Legoland) tampil dengan pelbagai tarikan terbaharu sempena sambutan ulang tahun ke-10 taman tema di Johor Bahru itu pada September depan.

Pengarah Bahagian Legoland Malaysia Resorts, CS Lim berkata, pelbagai tarikan terbaharu ditawarkan kepada pengunjung yang menantikannya sejak dua tahun lalu.

Katanya, Legoland komited menawarkan nilai hebat kepada pengunjung sebagai destinasi percutian keluarga terbaik.

"Kami terus membina asas kukuh dan fokus kepada strategi dengan melabur bagi meningkat, memperluas serta mengukuhkan pengalaman unik kepada pengunjung.

"Pelbagai aktiviti menarik dan terkini menanti pengunjung sempena ulang tahun ke-10 Legoland pada September depan," katanya dalam sesi bersama media, di sini.

Katanya, antara penambahbaikan yang dijalankan di Legoland adalah ruang pameran tertutup bagi laman mini yang menampilkan pelbagai reka bentuk bangunan ikonik tempatan dan Asia.

Menurutnya, Legoland memperbaharui Hotel Legoland dengan beberapa tema terbaharu untuk menarik minat pengunjung.

"Legoland juga memiliki festival taman tema air dengan pelbagai persembahan dan aktiviti menarik menjelang suku pertama 2023.

"Pengunjung yang meminati filem berpeluang menonton filem empat dimensi (4D) di Lego Studio pada suku ketiga 2023," katanya.

Lim berkata, Legoland optimis sektor pelancongan tempatan kini positif kerana sambutan diterima daripada pelancong dalam dan luar negara begitu menggalakkan.

Tambahnya, Legoland juga akan terus bekerjasama erat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menjadikan taman tema ini destinasi pilihan pelancong menjelang 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 7:00 AM