SK Kuala Bok, Baram, Miri yang ditenggelami air.
SK Kuala Bok, Baram, Miri yang ditenggelami air.
Mohd Rizal Abdullah

Miri: Sesi persekolahan di lima sekolah rendah di negeri ini tergendala selepas kawasan sekolah dinaiki air antara 0.5 meter dan satu meter akibat hujan berterusan sejak Sabtu lalu.

Kelima-lima sekolah itu terpaksa ditutup berikutan limpahan air memasuki kawasan sekolah manakala murid yang menetap di asrama sekolah dibenarkan pulang ke rumah atas faktor keselamatan.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, sekolah yang ditutup adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bon di Sibu, SK Kuala Kenyana di Mukah, SK Rumah Ranggang di Subis, SK Sungai Bong dan SK Kuala Bok di Baram.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, sekolah berkenaan terpaksa ditutup berikutan berlaku limpahan air sehingga memasuki kawasan sekolah malah laluan ke sekolah berkenaan juga dinaiki air.

Menurutnya, situasi itu menjejaskan 379 murid di kelima-lima sekolah berkenaan kerana tidak dapat meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.

“Pada sebelah pagi, hanya tiga sekolah rendah ditutup iaitu SK Kuala Kenyana di Mukah serta SK Sungai Bong dan SK Kuala Bok, kedua-duanya di Baram membabitkan keseluruhan 223 murid.

“Menjelang tengah hari, dua buah sekolah lagi ditutup iaitu, SK Nanga Bon di Sibu dan SK Rumah Ranggong di daerah Subis, Miri membabitkan 156 murid,” katanya.

Katanya, selain penutupan lima sekolah itu, lapan lagi sekolah terjejas akibat limpahan air sungai dan banjir, namun masih meneruskan sesi persekolahan.

“Bagaimanapun, semua sekolah terjejas masih dipantau bagi memastikan keselamatan murid,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 4:47 AM