DUA helikopter Unit Udara JBPM mulakan operasi mengangkut pelajar Orang Asli di Gua Musang, hari ini. FOTO/ Ramli Ibrahim
DUA helikopter Unit Udara JBPM mulakan operasi mengangkut pelajar Orang Asli di Gua Musang, hari ini. FOTO/ Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

DUA helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) digunakan untuk mengangkut 242 pelajar Orang Asli di Gua Musang yang terkandas di penempatan masing-masing, mulai hari ini.

Helikopter AW139 dan A109E mengambil 77 pelajar di Pos Balar dan Pos Belatim, 10 pagi tadi.

Baki pelajar di Pos Bihai dan Pos Gob akan dibawa keluar esok serta Rabu.

Semua pelajar itu yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Petra 1 dan SMK Indera Petra 2 selain SMK Seri Wangi, Gua Musang, masih gagal melapor diri sejak sesi persekolahan dibuka disebabkan laluan darat yang rosak teruk.

Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan Azman Ngadiron berkata, operasi membawa keluar pelajar itu terpaksa dilakukan selama tiga hari berturut-turut.

“Hari ini dua pos terbabit iaitu Pos Balar dan Belatim, esok pula di Pos Bihai yang membabitkan 114 orang dari Kampung Laklok, Tandrik dan Kampung Hak.

“Pada Rabu, 51 pelajar di Pos Gob akan dibawa keluar. Mereka terkandas dan masih gagal melapor diri di sekolah masing-masing,” katanya, hari ini.

Manakala 57 pelajar lain di Pos Simpor yang turut berhadapan masalah sama sudah berjaya dibawa keluar secara berperingkat menggunakan jalan darat sejak 1 Januari lalu.

Katanya, perkhidmatan helikopter terpaksa digunakan kerana masalah jalan perhubungan di pos berkenaan yang rosak teruk dan membahayakan pelajar berkenaan.

“Ini tahun ketiga unit udara JBPM Subang menjalankan operasi angkut pelajar Orang Asli yang terkandas. Kali pertama pada 2015 selepas banjir besar," katanya.

Dalam pada itu, Komander Pasukan Khas Unit Udara JBPM Subang Penguasa Hamdan Hamzah berkata, seramai 15 kru terbabit dalam operasi tiga hari itu.

Pihaknya akan memastikan pelajar selamat dan operasi berjalan lancar sepanjang tempoh itu.

“Setiap perjalanan boleh memuatkan enam ke tujuh orang untuk satu helikopter dan kami akan buat beberapa kali perjalanan.

“Cuaca juga baik untuk penerbangan hari ini dan diharap berterusan baik sehingga Rabu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 12:08 PM