Zulkifli menyampaikan sumbangan makanan dan keperluan harian kepada sebahagian 155 pelajar di Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Zulkifli menyampaikan sumbangan makanan dan keperluan harian kepada sebahagian 155 pelajar di Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


FELCRA Bhd (FELCRA) menyumbang barang keperluan harian seperti beras, susu pekat dan gula bernilai RM10,000 kepada Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir, Kota Bharu, hari ini.

Sumbangan itu adalah yang kedua daripada agensi terbabit selepas bantuan kecemasan RM3,000 yang disampaikan sejurus kebakaran pondok itu, 28 Disember lalu.

Pengurus Besar FELCRA Wilayah Timur, Zulkifli Sidik berkata, pemberian berkenaan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat agensi itu kepada mereka yang memerlukan.

"Bantuan kali ini untuk keperluan semasa 155 pelajar dan diharapkan dapat meringankan beban yang ditanggung pengurusan pondok.

"Insya-Allah kita bersedia beri bantuan semasa ke semasa sekiranya mereka memerlukan," katanya ketika ditemui pada penyampaian sumbangan itu, hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Shamshudin Yusoff.

Sementara itu, Timbalan Mudir Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir, Mohd Nazri Mohamed berkata, sejak tragedi itu berlaku, pondok berkenaan tidak putus-putus menerima sumbangan orang ramai.

"Ramai juga yang menyumbang wang tunai dan terkini boleh cecah RM200,000. Alhamdulillah. Sumbangan itu akan kami gunakan untuk keperluan pembinaan bangunan baru dan keperluan pelajar.

"Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang sudah membantu kami dan hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas jasa mereka," katanya.

Pada 7.45 malam, 28 Disember 2017, sebanyak 14 pondok di Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, Kota Bharu terbakar menyebabkan penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

Ketika kejadian, semua penghuni sedang membaca Yasin di masjid berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 8:40 PM