MB Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bergambar dengan penerima selepas menyerahkan Geran Hak Milik di antara 430 peneroka Felda di Dewan Semai Bakti di Felda Pemanis 2, Segamat. FOTO Ahmad Ismail
MB Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bergambar dengan penerima selepas menyerahkan Geran Hak Milik di antara 430 peneroka Felda di Dewan Semai Bakti di Felda Pemanis 2, Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Mohamad Fahd Rahmat


SERAMAI 430 peneroka FELDA Pemanis 2 di Segamat menerima hak milik tanah mereka, sekaligus mengakhiri penantian sejak 40 tahun lalu.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemberian hak milik berkenaan merangkumi 430 lot tapak rumah dan 521 lot tapak kebun.

“Jumlah lot ladang adalah lebih banyak daripada jumlah lot rumah kerana terdapat peneroka yang menerima lebih dari satu lot ladang.

“Secara umumnya kadar cukai bagi Tapak Rumah Kediaman adalah sebanyak RM45 hingga RM130 bagi satu plot. Manakala tapak pertanian sebanyak RM18 hingga RM225 bagi satu plot,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah FELDA PEMANIS 2, di Dewan Semai Bakti FELDA Pemanis 2 di sini semalam. Hadir sama, Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, keluasan tanah yang diberikan oleh kerajaan kepada Felda Pemanis 2 adalah seluas 504,763 meter persegi bagi tapak rumah kediaman manakala keluasan bagi tanah ladang adalah seluas 1,705.8 hektar.

Katanya, kerajaan berharap menerusi pemberian hak milik berkenaan akan memudahkan dan memberi manfaat kepada semua pihak.

“Pergilah ke mana-mana tempat lain di dunia ini. Tidak ada satu pun program pembasmian kemiskinan yang lebih berjaya dari FELDA.

“Kita mungkin tidak tahu dan tidak sedar, bahawa dunia luar sebenarnya sangat mengagumi FELDA. Tidak terfikir oleh mereka, bahawa tanah rancangan seperti FELDA berupaya mengubah struktur dan status sosial yang sangat berimpak tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 4:57 PM