Siti A'isyah Sukaimi


SEORANG lelaki berusia 69 tahun direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kemelut pemilikan tanah di Kampung Serampang Indah di Serting Hilir, Jempol, yang berlarutan sejak 40 tahun lalu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Siti Nabila Abd Rashid di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini sehingga 23 September.

Difahamkan, warga emas itu adalah orang tengah dipercayai menguruskan pemindahan hak milik tanah di kampung berkenaan.

Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya bagi membantu siasatan kes berkenaan kira-kira jam 2 petang, semalam.

Portal Harian Metro semalam melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dipetik berkata, berdasarkan siasatan awal, tanah berkenaan milik sebuah syarikat persendirian dan masalah itu timbul akibat peneroka tidak mendapat hak pemilikan tanah seperti dijanjikan.

Pada 27 Ogos lalu, Dzulkifli hadir bertemu sendiri peneroka kampung berkenaan bagi mendengar isu itu dan menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat dokumen diserahkan Badan Bertindak Peneroka Gatco berhubung isu pemilikan tanah kampung berkenaan.

Kemelut bermula selepas pemilik asal Syarikat Gula Negeri Sembilan ditutup dan ladang tebu seluas 1,200 hektar miliknya dilupuskan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS) secara pajakan 99 tahun.

PKNNS memajak tanah itu kepada syarikat The Great Allonioners Trading Corporation Bhd (Gatco) pada 1977 dan menjadikan sebagai tanah rancangan serta membawa masuk peserta dengan tawaran tapak rumah dan ladang getah seluas empat hektar seorang.

Bagaimanapun, Gatco menghadapi masalah kewangan menyebabkan projek terbengkalai dan tanah dirampas lalu dilelong pada 2004.

Pemilikan tanah bertukar tangan kepada pelbagai pihak sebelum dimiliki sebuah syarikat yang bersetuju bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tanah di ladang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 1:46 PM