Mohd Khidir Zakaria


ORANG tengah yang dipercayai menguruskan pemindahan hak milik tanah di Kampung Serampang Indah di Serting Hilir, Jempol, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kemelut pemilikan tanah di kampung berkenaan yang berlarutan sejak 40 tahun lalu.

Lelaki berusia 69 tahun terbabit ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya, bagi membantu siasatan kes terbabit, kira-kira 2 petang tadi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya mengambil keterangan saksi penting terbabit yang dipercayai terbabit dalam menguruskan pemindahan hak milik tanah.

"SPRM sudah merekodkan kenyataan saksi terbabit dan berkemungkinan akan ada tangkapan selepas ini.

"Berdasarkan siasatan awal, tanah berkenaan milik syarikat persendirian dan masalah itu timbul akibat peneroka tidak mendapat hak (pemilikan tanah) seperti yang dijanjikan," katanya dalam sidang media pada program Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR'17) di Dataran Telok Kemang, Port Dickson.

Sebelum ini, Dzulkifli hadir bertemu sendiri peneroka kampung berkenaan pada 27 Ogos lalu bagi mendengar isu itu dan menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat dokumen diserahkan Badan Bertindak Peneroka Gatco berhubung isu pemilikan tanah kampung berkenaan.

Kemelut bermula selepas pemilik asal Syarikat Gula Negeri Sembilan ditutup dan ladang tebu seluas 1,200 hektar miliknya dilupuskan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS) secara pajakan 99 tahun.

PKNNS memajak tanah itu kepada syarikat The Great Allonioners Trading Corporation Bhd (Gatco) pada 1977 dan menjadikan sebagai tanah rancangan serta membawa masuk peserta dengan tawaran tapak rumah dan ladang getah seluas empat hektar seorang.

Namun Gatco menghadapi masalah kewangan menyebabkan projek terbengkalai dan tanah dirampas lalu dilelong pada 2004.

Bagaimanapun, pemilikan tanah bertukar tangan kepada pelbagai pihak sebelum dimiliki syarikat yang bersetuju bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tanah di ladang berkenaan.

Gambar Mohd Khidir Zakaria (hantar sistem)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 12:34 AM