MOHD Norhiesham (kiri) melakukan simbolik menggunting rambut kanak-kanak sempena Program Gunting Rambut Percuma. FOTO Muhammad Shalaby Shahbuddin
MOHD Norhiesham (kiri) melakukan simbolik menggunting rambut kanak-kanak sempena Program Gunting Rambut Percuma. FOTO Muhammad Shalaby Shahbuddin
Muhammad Shalaby Shahbuddin


WALAUPUN tidak berkelulusan tinggi, namun keinginan dan bakat semula jadi dimiliki membuatkan seorang lelaki mampu menjana pendapatan lebih dengan hanya menggunting rambut sejak 20 tahun lalu.

Megat Noraizal Megat Md Noor, 40, berkata, selain sudah mempunyai pendapatan tetap dengan bekerja di kilang, dia tidak pernah duduk diam untuk mencari rezeki lebih melakukan kerja separuh masa dengan membuka perkhidmatan gunting rambut di rumah bapa mentuanya di Batu Kawan.

Megat Noraizal berkata, dia tidak pernah menghadiri sebarang kursus, malah hanya belajar teknik menggunting rambut dengan melihat dan seterusnya boleh melakukannya dengan sendiri.

"Saya mula menggunting rambut pelanggan sejak berusia 16 tahun dan modal permulaan tidak menggunakan kos yang tinggi kerana hanya memerlukan gunting dan sikat sahaja ketika itu.

"Mungkin ini bakat semula jadi saya yang cepat mempelajari sesuatu, sekali gus mampu menggunting rambut pelanggan dengan pelbagai fesyen terkini," katanya yang mampu memperoleh pendapatan melebihi RM50 sehari.

Dia berkata demikian selepas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesham Ismail melakukan simbolik menggunting rambut kanak-kanak dalam Program Gunting Rambut Percuma anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Nibong Tebal dengan kerjasama Gerakan Belia 4B Nibong Tebal di padang Taman Tasek Maju, Simpang Ampat semalam.

Sementara itu, Mohd Norhiesham berkata, program berkenaan adalah acara tahunan yang dilakukan kedua-dua pihak secara percuma membabitkan 300 kanak-kanak berusia seawal 4 hingga 12 tahun.

Beliau berkata, ia membabitkan tiga lokasi dalam Parlimen Nibong Tebal iaitu di padang Taman Tasek Maju, Simpang Ampat , Dewan Taman Kesumba, Sungai Bakap dan Masjid Changkat.

"Program ini bertujuan meringankan beban ibu bapa khususnya dalam menyediakan persiapan untuk memasuki persekolahan sesi 2018 terutama yang mempunyai anak ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 7:26 PM