Mohd Sabran Md Sani

POLIS Johor merekodkan sebanyak 963 kes penipuan membabitkan penipuan dalam talian dan pinjaman wang tidak wujud berdasarkan aduan diterima dari awal tahun hingga hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, statistik berkenaan berdasarkan laporan diterima Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor.

Berdasarkan statistik itu, 374 kes membabitkan penipuan tidak wujud dengan tangkapan seramai 71 orang.

“Tipu pembelian secara dalam talian pula merekodkan 588 kes dengan jumlah tangkapan seramai 133 orang,” katanya.

Menurutnya, golongan wanita pertengahan usia perlu lebih berhati-hati kerana sering menjadi sasaran sindiket penipuan.

Sindiket biasanya menyamar sebagai anggota polis dan mempunyai jaringan terancang yang dilakukan melalui panggilan telefon.

“Sekarang ini, sindiket menggunakan talian telefon polis untuk menipu orang, malah mereka menggunakan alasan individu sasaran mempunyai waran.

“Polis yang betul tidak buat cara begitu. Kami mempunyai mekanisme kerja dan menyerahkan waran tangkapan, dan tidak menghubungi mereka,” katanya.

Katanya, masyarakat perlu peka dengan isu penipuan, malah perlu sedar tidak ada saham datang dengan sekelip mata.

“Kami dan PDRM melalui JSJK berkali-kali memperkatakan pelbagai penipuan dan paling penting jangan percaya skim ditawarkan dan tidak perlu dilayan.

“Kita ada banyak agensi pelaburan halal, betul dan berlesen, rujuklah ke sana,” katanya.

Mohd Khalil Kader (kanan) berama mesra dengan pegawai dan anggota polis pada majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara IPK Johor, di Dewan Datuk Onn, IPK Johor. FOTO/ Zain Ahmed
Mohd Khalil Kader (kanan) berama mesra dengan pegawai dan anggota polis pada majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara IPK Johor, di Dewan Datuk Onn, IPK Johor. FOTO/ Zain Ahmed

Terdahulu, Mohd Khalil hadir pada Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Kontinjen Johor Tahun 2017 di Dewan Dato' Onn IPK Johor, hari ini.

Program anjuran Tabung Kebajikan Sukan Sosial (TKSS) itu bagi meraikan 318 anggota dan pegawai yang bersara dan akan bersara.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Pada majlis itu, beliau turut mengingatkan semua anggota yang bersara dan akan bersara supaya membuat rujukan terlebih dulu sebelum melabur sekiranya kurang yakin.

“Sayang duit, sudahlah kerja bertahun-tahun dengan berdepan maki hamun, kesesakan lalu lintas dan sebagainya, akhirnya duit bersara ditabur begitu saja,” katanya.

Katanya, semua anggota yang bersara juga perlu berhati-hati kerana mereka mudah dieksploitasi.

“Apabila ada duit banyak, ramai yang mengaku saudara, ramai mengaku kawan dan menjadi tetamu di rumah, tetapi sebaliknya jika anda tidak mempunyai apa-apa lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 4:15 PM