Hamzah Osman


“SEBELUM kejadian itu, arwah teruja untuk mandi bersama dua rakan di tingkat paling bawah kawasan air terjun yang mempunyai tujuh tingkat itu," kata Nur Alina Ramli, 16, rakan Nurul Intan Nadia Muhd Radzi, 17, yang ditemui lemas ketika mandi di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi, hari ini.

Nur Alina berkata, ketika kejadian itu, tiga lagi rakan mereka berada di tingkat atas.

"Bagaimanapun, dua rakan yang berada di sisi arwah terkejut apabila dia tidak timbul selepas menyelam di kawasan lubuk air di air terjun itu," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Langkawi (HL) di sini.

Nur Alina berkata, arwah rakannya adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakar Arang, Sungai Petani.

"Pada sebelah pagi, sebelum ke Air Terjun Telaga Tujuh, kami berenam terlebih dahulu bersiar-siar di sekitar Pantai Chenang dan memang bercadang pulang ke Sungai Petani esok.

"Arwah adalah seorang yang periang dan suka belanja kawan makan. Tak sangka arwah menemui ajal di hadapan kawan-kawan rapat dan saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan remaja ditemui lemas selepas terjatuh ketika mandi di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian 1.15 tengah hari itu, mangsa, Nurul Intan Nadia dari Taman Sejati Indah, Sungai Petani dilaporkan terjatuh ke kawasan air terjun sebelum mayatnya ditemui orang awam.

Berita berkaitan

Air Terjun Telaga Tujuh ragut nyawa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 6:42 PM