PENUNTUT kolej warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
PENUNTUT kolej warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Dua penuntut kolej warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah mengedar 3.5 kilogram (kg) dadah di sebuah pangsapuri di Petaling Jaya, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman memutuskan demikian selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh Mustafa Azmir, 28, dan Jude Nnamdi Achonye, 30.

Mengikut pertuduhan, mereka yang menuntut di sebuah kolej swasta di ibu negara didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine di kawasan pangsapuri berkenaan jam 3.30 petang, 2 September 2014.

Dua sahabat itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berdasarkan fakta kes, mereka ditahan polis selepas mengambil beberapa kotak berisi dadah terbabit yang dihantar oleh sebuah syarikat kurier di pangsapuri berkenaan.

Abdul Halim dalam penghakimannya berkata, selain 73 eksibit yang dikemukakan, mahkamah meneliti keterangan 13 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan.

“Pihak pembelaan di akhir kes ini didapati gagal menimbulkan sebarang kes keraguan munasabah dan turut tiada keterangan yang menyangkal hujahan pendakwaan secara keseluruhan.

“Selain itu, wujud percanggahan keterangan antara kedua-dua tertuduh dan pembelaan hanya bersifat penafian tanpa bukti kukuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 6:15 AM