Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Seorang mekanik dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas dua kesalahan mengedar dadah kanabis seberat 615.5 gram lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmad Nasfy Yasin yang bersidang di Mahkamah Tinggi Melaka menjatuhkan hukuman itu terhadap Izzat Asnawie Noor Azami, 26.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap di akhir kes pembelaan.

"Keterangan tertuduh adalah penafian semata-mata dan difikirkan semula (afterthought). Keterangannya juga tidak konsisten apabila menyatakan tiada barang salah dan kedudukan dadah jauh daripada dia.

"Mahkamah membuat penemuan dan mendapati tertuduh duduk di ruang tamu ketika ditahan bersama 10 ketulan mampat dadah ganja dan alat pemotong plastik," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Izzat Asnawie didakwa mengedar 449 gram kanabis di sebuah rumah, No B-3-4 Jalan Malim, Taman Pangsapuri Malim pada 1 Jun 2017 kira-kira 8.30 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

IZZAT Asnawe dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Melaka hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
IZZAT Asnawe dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Melaka hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.

Dalam prosiding sama mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 tahun dan 10 sebatan terhadap tertuduh bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 39A (2) iaitu memiliki sejumlah 283 gram kanabis di tempat, masa dan tarikh sama.

Manakala bagi dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2), iaitu memiliki 5.2 gram methamphetamine dan 0.10 gram nimetazepam di tempat, masa dan tarikh sama, tertuduh dijatuhkan masing-masing penjara tiga tahun.

Semua hukuman penjara ditetapkan berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditahan pada 1 Jun 2017.

Pendakwaan kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Muzila Mohamed Arsad manakala tertuduh diwakili peguam R Subash.

Sepanjang perbicaraan bermula 17 Jun 2019, seramai lapan saksi pendakwaan memberi keterangan manakala pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 3:16 PM