BERNAMA

Ipoh: Tindakan seorang lelaki yang enggan memberhentikan kenderaan dipandunya selepas diarahkan polis berakhir dengan penahanannya apabila kenderaan terbabit melanggar beberapa kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 50 saat menerusi aplikasi TikTok memaparkan aksi dua unit kereta peronda (MPV) dan dua unit rondaan bermotosikal (URB) mengejar sebuah kereta jenis Proton Waja di Jalan Kamunting-Jalan Ulu Sepetang, Taiping, Isnin lalu.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada Ahad lalu membabitkan anggota Balai Polis Kamunting yang sedang menjalankan tugas ronda cegah jenayah (RCJ) kira-kira 5.45 petang.

"Anggota polis berkenaan terserempak dengan kereta Proton Waja dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Polis mengarahkan pemandu itu memberhentikan kenderaannya bagi pemeriksaan tetapi pemandu itu bertindak melarikan diri memandu secara berbahaya serta melanggar beberapa kenderaan lain selain cuba melanggar kenderaan polis sebelum ditahan di Jalan Persiaran Kamunting," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nasir berkata, hasil penahanan lelaki itu, polis menemukan beberapa peralatan disyaki digunakan untuk jenayah pecah rumah.

Beliau berkata, lelaki terbabit yang didapati positif dadah jenis MOP kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1960.

"Berikutan tindakan pantas anggota polis, tangkapan dapat dibuat terhadap suspek tanpa sebarang kecederaan termasuk orang awam," katanya menambah pihaknya percaya penahanan lelaki itu sekali gus dapat mengurangkan kes jenayah terutama pecah rumah di sekitar Taiping dan Selama.

Mohamad Nasir menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 8:42 PM
TANGKAP layar video tular di media sosial
TANGKAP layar video tular di media sosial