Kemalangan mengorbankan warga emas di Batu 11, Segari dekat Lumut, hari ini. FOTO ihsan bomba
Kemalangan mengorbankan warga emas di Batu 11, Segari dekat Lumut, hari ini. FOTO ihsan bomba
Noor Hidayah Tanzizi

LELAKI warga emas maut selepas Proton Persona dipandunya bertembung lori di Batu 11, Segari dekat Lumut, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Chong Peng Ho @ Cheong Peng Ho,68, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan Chong Bhoo Khim berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun dari arah Segari menghala ke Pantai Remis manakala mangsa dari arah bertentangan.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian dipercayai kereta mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan memasuki laluan lori.

"Pemandu lori itu membrek namun tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta mangsa di bahagian hadapan.

"Akibat kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berkenaan tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis menerima panggilan berhubung kejadian jam 3.52 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota mendapati mangsa tersepit dan bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat sebelum berjaya mengeluarkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 8:09 PM