PEMBANTU rumah dari Indonesia menggosok pakaian majikannya. FOTO arkib NSTP
PEMBANTU rumah dari Indonesia menggosok pakaian majikannya. FOTO arkib NSTP
Ahmad Suhael Adnan


PERSATUAN Majikan Amah Malaysia (MAMA) percaya, majikan mampu menjimatkan kos pengambilan pembantu rumah warga asing sehingga RM10,000 berbanding kadar sedia ada.

Ia susulan langkah kerajaan memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari sembilan negara sumber tanpa melalui ejen, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Presiden MAMA, Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein, menyifatkan pengumuman itu sebagai berita gembira kerana lebih separuh kos pengambilan sedia dapat dikurangkan.

“Sebagai contoh, jika mengambil pembantu rumah dari Indonesia melalui ejen. Majikan dicaj RM14,000 sehingga RM18,000 termasuk bayaran kepada kerajaan seperti levi, visa, permit, kos perubatan dan sebagainya.

“Daripada jumlah itu, kira-kira RM10,000 adalah bayaran untuk ejen membabitkan kos makan minum, latihan, penginapan sementara amah serta tiket penerbangan.

“Menerusi inisiatif diumumkan kerajaan, majikan boleh elakkan semua itu dan terus berurusan dengan pembantu rumah di negara sumber. Saya harap inisiatif ini dikekalkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain pilihan mengambil pembantu rumah secara terus, kerajaan turut mengumumkan majikan boleh memohon visa pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen Malaysia secara online dengan bayaran levi dan fi pemprosesan pada kadar sedia ada.

Engku Ahmad Fauzi berkata, langkah itu memudahkan majikan serta mempercepatkan proses pendaftaran, selain turut mengurangkan kos mendapatkan pembantu rumah asing.

“Ketika ini, majikan perlu ke Jabatan Imigresen sendiri atau menerusi ejen untuk mendaftar pekerja asing, agak menyusahkan bagi majikan yang sibuk kerana ada proses pendaftaran yang memakan masa lebih sehari.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan, dan harap majikan akan menjadi lebih bertanggungjawab menjaga pembantu rumah masing-masing kerana tidak boleh lagi menyalahkan ejen jika berlaku masalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 10:15 PM