Palam pencucuh (kanan) yang diubahsuai dirampas daripada suspek. Beg tangan milik mangsa. FOTO Ihsan PDRM
Palam pencucuh (kanan) yang diubahsuai dirampas daripada suspek. Beg tangan milik mangsa. FOTO Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini

LELAKI, 23, ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian memecah cermin kereta sebelum melarikan beg tangan milik seorang wanita di sebuah stesen minyak di Penanti, Bukit Mertajam, malam semalam.

Dalam kejadian pada 8.15 malam, juruaudit berusia 23 tahun itu baru sahaja selesai membuat bayaran di kaunter sebelum melihat seorang lelaki menaiki motosikal memecahkan cermin kereta di bahagian pemandu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Bik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek kemudian mengambil beg tangan mangsa dan cuba melarikan diri.

“Mangsa bertindak menjerit meminta bantuan dan anggota polis yang kebetulan tiba di stesen minyak itu melihat suspek melarikan diri.

“Anggota polis kemudian memberkas suspek di dalam longkang berhampiran semak.

“Pemeriksaan menemui dadah jenis syabu anggaran berat 1.88 gram dan palam pencucuh yang diubahsuai di dalam poket seluar suspek dipercayai digunakan untuk memecah cermin kereta,” katanya.

Katanya, beg tangan berisi barangan berharga yang dilarikan suspek berjaya ditemui dan lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 1:41 PM