Kamalanathan menunjukkan dokumen tuduhan menyalahguna kuasa dan penyelewengan di SKMM. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Kamalanathan menunjukkan dokumen tuduhan menyalahguna kuasa dan penyelewengan di SKMM. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Suhaila Shahrul Annuar


TIMBALAN Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung fitnah salah guna kuasa dan penyelewengan yang dibuat ke atasnya.

Katanya, tuduhan ke atasnya itu dibuat di laman sosial Facebook (FB) yang menggunakan nama TMM 2.0 Extra.

Beliau berkata, tuduhan yang dimuat naik mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa dan melakukan penyelewengan dengan bersubahat dalam pelantikan syarikat kontraktor membabitkan 39 projek pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menerusi Pakej Rangsangan Khas 2012.

Menurutnya, Pakej Rangsangan Khas itu membabitkan peruntukan RM100 juta bagi pembinaan blok tambahan dan bangunan baharu SJKT yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012.

Kamalanathan berkata, Kementerian Kewangan sudah melantik syarikat ECL pada 16 Februari 2013 untuk pelaksanaan projek itu.

"Saya hanya dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan pada 16 Mei 2013 iaitu tiga bulan selepas pelantikan syarikat berkenaan oleh Kementerian Kewangan, bagaimana pula boleh timbul saya yang menganugerahkan pelantikan itu, sedangkan ia bukan di bawah bidang kuasa saya?.

"Selain itu, saya juga tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan individu yang dimaksudkan dalam dakwaan berkenaan.

"Saya membantah sekeras-kerasnya fitnah ini. Tuduhan ini adalah sesuatu yang amat menjijikkan, bertaubatlah pada sesiapa yang membuat tuduhan ini," katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas menyerahkan laporan kepada Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya hari ini.

Berhubung projek itu, Kamalathan menjelaskan daripada 39 sekolah, 10 sekolah sudah siap dan berfungsi, 14 lagi sudah siap dan menunggu sijil kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), 13 sekolah dalam proses pembinaan dan dua sekolah masih dalam perancangan.

"Bahagian Pembangunan Kementerian Pendidikan akan memantau setiap proses pembinaan yang terbabit.

"Ingin ditegaskan di sini, saya tiada sebarang kaitan dengan mana-mana syarikat dalam sebarang pembinaan yang berlaku dan ini adalah cubaan mengaibkan nama saya dan Kementerian Pendidikan,"katanya.

Beliau berkata, laporan itu dibuat supaya siasatan boleh dilakukan dan penyebar maklumat palsu itu dibawa ke muka pengadilan.

"Saya juga akan membuat laporan kepada pihak polis berhubung perkara ini sama ada hari ini atau esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 6:06 PM