Zuliaty Zulkiffli


“SAYA tak sempat buat apa-apa kerana sebaik Hoo terjatuh ke dalam sungai, kami nampak dia terkapai-kapai sebelum tenggelam kerana arus deras.

“Saya cuba cari kayu atau apa-apa benda untuk membantunya tetapi tak sempat dan sebelum tergelincir, dia sempat baling telefon bimbitnya di atas jambatan," kata penyelia syarikat kontraktor, Wong Weng Aik, 35, mengenai pekerjanya, Hoo Chun Chian, 22, dikhuatiri lemas selepas terjatuh di Sungai Kedah, 11.30 pagi tadi.

Menurut Wong, sebelum kejadian dia bersama mangsa dan seorang pekerja Myanmar sedang meninjau kawasan jambatan lama di Kampung Ganding Dalam, Jalan Alor Mengkudu pada 11 pagi sebelum kerja perobohan dilakukan.

Katanya, itu kali pertama mereka bertugas di kawasan itu dan hari ini mereka datang untuk meneliti keadaan jambatan lama itu.

"Kami sudah hendak beredar dari sini sebenarnya kerana datang sekejap saja dan pada masa sama, Hoo menerima panggilan daripada seseorang sambil berjalan di tepi jambatan ini.

"Tidak lama kemudian kami terdengar bunyi benda jatuh sebelum ternampak dia terkapai-kapai dan tenggelam dibawa arus deras. Dia baru tiga bulan bekerja dan seorang yang sangat rajin," katanya ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, bapa mangsa, Hoo Kam Fook, 50, berkata, dia terkejut sebaik menerima panggilan 11.50 pagi tadi yang memberitahu anak sulung dari tiga beradik itu terjatuh ke dalam sungai.

Katanya, ketika kejadian dia berada di tempat kerja berhampiran rumah mereka di Tikam Batu, Sungai Petani dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

"Saya cuma harap anak saya ditemui selamat," katanya.

Sehingga 3 petang, hari ini usaha mencari mangsa sedang giat dilakukan pasukan bomba serta polis di lokasi kejadian.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan II Zulkifle Md Esa berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.49 pagi dan sebuah jentera bersama Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi pada jam 11.59 pagi.

Beliau berkata, tujuh anggota bersama seorang penyelia terbabit operasi itu dan dibantu sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jitra dan Sungai Petani.

Berita berkaitan:

Cari lelaki terjatuh sungai

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 4:37 PM