BOMBA membawa keluar mayat mangsa yang lemas selepas kereta dinaiki dua beradik terjunam ke dalam Sungai Liku. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA membawa keluar mayat mangsa yang lemas selepas kereta dinaiki dua beradik terjunam ke dalam Sungai Liku. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Rizal Abdullah


DUA beradik maut selepas Perodua Kancil dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Liku ketika menaiki feri di Ladang Sawit di Kuala Baram, Miri, petang semalam.

Dalam kejadian 1.40 petang itu, pemandu, Gary Nevile Wilson, 21, dan abangnya, Gabriel Bryan Sibak Wilson, lemas.

Menurut sumber, kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke rumah bapa saudara mereka dari kuarters ladang sawit berkenaan.

"Kedua-dua mangsa pernah bekerja di ladang sawit itu sebelum ini, bagaimanapun, mereka sudah berhenti baru-baru ini.

"Mereka ke kuarters berkenaan untuk mengambil semula barangan rumah yang terdapat di kuarters yang pernah dihuni mereka itu," katanya.

Katanya, ketika menaiki feri ladang berkenaan untuk pulang ke rumah bapa saudara mereka, pemandu terbabit dipercayai tertekan pedal minyak sehingga kereta berkenaan terjunam ke dalam sungai.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.46 petang berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dikerahkan ke lokasi bersama Unit Selam Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

"Mangsa pertama, Gary Nevile berjaya ditemui para 5.01 petang, manakala abangnya ditemui 5.27 petang berhampiran lokasi kejadian," katanya.

Kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 8:57 PM