ZUARINA menjaga Imam Hisham yang baru berkhatan 5 hari lalu di SK Tiong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ZUARINA menjaga Imam Hisham yang baru berkhatan 5 hari lalu di SK Tiong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ismail Muhamad


HARI pertama berkhatan tidak menyenangkan buat seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun apabila terpaksa berpantang di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong, Kota Bharu.

Kanak-kanak itu, Imam Hisman Radzuan yang bersekolah di SK Long Ghafar, berkhatan pada 11 pagi, Isnin lalu, namun terpaksa mengikut keluarganya berpindah ke PPS pada sebelah petang apabila rumah mereka di Pasir Tumboh dinaiki air.

Ibunya, Zuarina Abdul Ghani, 37, berkata, suaminya Radzuan Omar, 45, terpaksa dukung Imam Hisman ke PPS selepas bahagian dapur rumah mereka mula dinaiki air dan tidak surut sejak 4 petang.

"Saya dan suami berpindah ke PPS ini (SK Tiong) bersama tiga anak kami termasuk Imam memandangkan tiada pusat dibuka dekat dengan rumah kami.

"Jarak ke pusat ini hampir lima kilometer. Saya bimbang juga, jika Imam tidak selesa di sini, tetapi nampaknya dia seronok sahaja kerana ramai kawan," katanya ketika ditemui di PPS itu, hari ini.

Imam Hisman ketika ditanya pengalamannya, mengakui seronok berada di PPS itu walaupun pergerakannya terbatas.

"Seronok sebab ada kawan baru dan tak la rasa bosan sangat. Sakit pun tidak," katanya.

Berita berkaitan:

• Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 10:18 PM