ROSIMAH di sisi menemani anaknya, Mohd Akif Halim, di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil, Pasir Putih. FOTO Azlan Hafeez
ROSIMAH di sisi menemani anaknya, Mohd Akif Halim, di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil, Pasir Putih. FOTO Azlan Hafeez
Azlan Hafeedz


SUAMI isteri dari Kampung Tok Sudin, Pasir Puteh, pada mulanya enggan berpindah ke PPS.

Ini kerana mengenangkan anak mereka yang baru selesai berkhatan.

Tapi, paras air yang semakin naik sejak Jumaat, menyebabkan mereka perlu berpindah ke PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil, Isnin lalu.

Oleh itu, anak mereka, Mohd Akif Halim Mohd Rosli, 9, terpaksa berpantang di pusat pemindahan yang dipenuhi ramai mangsa banjir.

Kanak-kanak itu berkhatan pada Ahad, sehari sebelum rumah mereka dinaiki air.

Mohd Rosli Che Soh, 37, berkata, dia dan isterinya Rosimah Daud, 37, tidak berhajat berpindah kerana mahu Mohd Akif Hakim lebih selesa berpantang di rumah.

“Namun, keadaan rumah kian bahaya apabila air naik sehingga satu meter menyebabkan kami semua akur. Saya dukung Akif dan mengharung banjir sejauh 600 meter.

“Sebelum itu, pada Ahad, kami sudah mengharung banjir juga kerana Akif mengadu tak boleh buang air kecil. Kami bawa dia dia ke Hospital Tengku Anis,” katanya ketika ditemui di PPS itu, malam tadi.

Mohd Rosli berkata, dia tidak sampai hati melihat anak sulung daripada tiga beradik itu menahan kesakitan dan kesejukan akibat mengharung banjir.

“Tapi apakan daya saya, kami tiada pilihan lain pun,” katanya.

Keluarga itu ditemui ketika PPS itu dikunjungi Timbalan Menteri di Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Polis Pasir Puteh, Deputi Superitendan Abd Rozak Muhammad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 11:04 AM