DR  Mohd Munir   menyampaikan sumbangan keperluan sekolah dan wang tunai kepada penerima pada Majlis Kegembiraan Kembali ke Sekolah di Ibu Pejabat Bank Muamalat, semalam. Gambar kecil, Norjazzylah Norazafir. FOTO Supian Ahmad
DR Mohd Munir menyampaikan sumbangan keperluan sekolah dan wang tunai kepada penerima pada Majlis Kegembiraan Kembali ke Sekolah di Ibu Pejabat Bank Muamalat, semalam. Gambar kecil, Norjazzylah Norazafir. FOTO Supian Ahmad
Mohd Wahyuddin Jamil Khair

Kuala Lumpur: “Saya ingin sumbangkan wang yang saya peroleh hari ini untuk membantu pihak madrasah,” kata seorang daripada 252 penerima sumbangan Kembali Ke Sekolah daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat), Norjazzylah Norazafir, 12.

Program Tanggungjawab Korporat bank berkenaan bertujuan memberikan bantuan persekolahan kepada pelajar dipilih membuat persediaan awal bagi menjalani sesi persekolahan yang akan datang.

Rakannya Muhd Haziq Arsyad, 12, berkata, dia berasa bersyukur dan gembira dengan pemberian ini.

“Pemberian peralatan baharu untuk musim persekolahan akan datang memberi makna sangat besar kepada saya, sekali gus membuatkan saya lebih bersemangat untuk belajar.

“Bantuan diberikan itu juga akan saya jaga dan gunakan sebaik mungkin,” katanya.

 penerima   sumbangan Kembali Ke Sekolah daripada Bank Muamalat ceria menunjukkan barangan yang diterima.
penerima sumbangan Kembali Ke Sekolah daripada Bank Muamalat ceria menunjukkan barangan yang diterima.

Sementara itu, Pengerusi Bank Muamalat Tan Sri Datuk Dr Mohd Munir Abdul Majid berkata, sumbangan itu diharapkan dapat membantu kanak-kanak terbabit untuk lebih bersemangat dalam alam persekolahan nanti.

“Sumbangan kecil daripada kami diharapkan dapat memberi manfaat yang besar kepada pelajar,” katanya yang ditemui media selepas penyampaian sumbangan di Ibu Pejabat Bank Muamalat, Menara Bumiputra, di sini, semalam.

Seramai 262 penghuni tiga rumah jagaan iaitu Pusat Jagaan Baitus Sakinah Wal Mahabbah, Asrama Baitul Ummah dan Madrasah Al Huffaz Wal Ullum menerima sumbangan berupa kelengkapan sekolah bernilai RM350 dan wang tunai RM50.

Lebih RM100,000 diperuntukan bank berkenaan, bagi menjayakan program itu. Turut hadir pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 8:26 AM