GUANG Eng (tengah) beramah mesra dengan mangsa kebakaran di Jalan Madrasah, Jelutong, kelmarin.
GUANG Eng (tengah) beramah mesra dengan mangsa kebakaran di Jalan Madrasah, Jelutong, kelmarin.
Hadzlihady Hassan


Georgetown: “Saya terdengar bunyi letupan kuat lalu meminta suami memeriksa kerana menyangka komputer terjatuh, tetapi terkejut apabila terdengar jiran menjerit memberitahu ada kebakaran,” kata Asmira Abdul Rahim, 27, menceritakan kebakaran di rumahnya dan dua lagi rumah di Jalan Madrasah, Jelutong, di sini, kelmarin.

Asmira yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat kedua-dua kaki sejak kecil terpaksa melarikan diri kerana panik selepas melihat api marak membakar rumah jiran sebelum merebak ke rumahnya.

“Saya nampak api membakar zink rumah dengan cepat dan terasa bahangnya sebelum mengambil keputusan melarikan diri kerana suami masih berada dalam rumah.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya terpaksa menggagahkan diri mengheret kedua-dua kaki dan sempat keluar walaupun mengalami sesak nafas,” katanya.

Menurutnya, walaupun hanya keluar sehelai sepinggang, dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Katanya, dia dan keluarga tinggal di rumah dua tingkat yang dibina daripada kayu itu sejak kecil dan ia kejadian pertama yang berlaku.

Dalam kebakaran kira-kira jam 5 petang, tiga rumah hangus dan punca serta jumlah kerugian dalam siasatan. Tiga keluarga membabitkan 21 mangsa itu ditempatkan sementara di Dewan Madrasah, Jalan Madrasah, di sini.

Sebelum itu, mereka dikunjungi Ketua Menteri Lim Guang Eng yang menyampaikan sumbangan RM2,500 kepada setiap keluarga.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.18 petang dan tiba di lokasi lapan minit kemudian.

Menurutnya, api dapat dikawal sepenuhnya jam 5.38 petang dan 19 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak terbabit dalam operasi memadam kebakaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 7:52 AM