Mohd Rizal Abdullah


KUMPULAN The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) merangkul enam Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2017, hari ini.

Wartawan Harian Metro, Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail memenangi Tempat Ketiga Anugerah Kenyalang bagi Kategori Kewartawanan Penyiaran menerusi siri laporan Nahas RPC6828 yang diterbitkan dalam Metro TV tahun lalu.

Nahas helikopter Eurocopter AS350 (RP-C6828) di Sungai Batang Lupar, Sarawak pada 5 Mei 2016 itu mengorbankan enam nyawa termasuk Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon.

Manakala, Ekhwan Haque Fazlul Haque merangkul Tempat Ketiga bagi Kategori Kewartawanan Perniagaan dan Ekonomi menerusi laporan Bermula 30 Rumah Lebah Kelulut dalam Harian Metro pada 27 Disember 2016.

Berita Harian pula merangkul empat anugerah, iaitu Anugerah Kemampanan Kewartawanan, Kategori Kewartawanan Rencana dan Berita Rencana serta Anugerah Laporan Berita, termasuk hadiah utama, Anugerah Kewartawanan Ketua Menteri Sarawak.

Hardi Effendi Yaacob memenangi Anugerah Kewartawanan Ketua Menteri Sarawak menerusi laporan aktiviti pembalakan haram di Sarawak, selain turut memenangi Tempat Pertama bagi Kategori Kewartawanan Rencana dan Berita Rencana dan Tempat Kedua Anugerah Kemampanan Kewartawanan.

Dalam pada itu, Kandau Sidi dan Mohd Amirul Faiz Ahmad memenangi Tempat Kedua bagi Anugerah Laporan Berita.

Sebanyak 414 penyertaan diterima daripada semua agensi berita seluruh Sarawak bagi lapan kategori yang dipertandingkan malam ini.

Majlis disempurnakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 1:41 AM