SEBAHAGIAN 81 kucing yang dihantar di PUSTAWAN.
SEBAHAGIAN 81 kucing yang dihantar di PUSTAWAN.
Faliq Lajim


Shah Alam: Statistik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendapati jumlah aduan mengenai gangguan anjing dan kucing di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu mencatatkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu.

Sepanjang tempoh Januari hingga bulan lalu, 1,635 aduan direkodkan berbanding 1,152 kes pada tahun lalu.

Pegawai Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA, Nur Hidayah Abd Razak berkata, peningkatan itu menyebabkan pihaknya melancarkan Kempen Penyerahan Haiwan Peliharaan (Anjing/Kucing) bermula 20 November hingga 18 Mei depan.

“Setakat semalam (kelmarin), kita menerima 81 kucing daripada orang awam yang tidak lagi mampu menjaga haiwan peliharan mereka.

“Kebanyakan mereka menyayangi haiwan itu, namun tidak mahu mengambil jalan mudah dengan cara melepaskannya ke lokasi tumpuan awam seperti pasar dan kedai makan. Jadi, mereka menyerahkan kepada MBSA untuk tindakan lanjut,” katanya ditemui di Pusat Tahanan Sementara Haiwan (PUSTAWAN), Seksyen 17, di sini, semalam.

Beliau berkata, kempen itu antara inisiatif pihaknya mengawal peningkatan populasi kucing dan anjing yang berkeliaran di kawasan pentadbiran MBSA.

“Kita mengumpulkan haiwan peliharaan yang tidak lagi diingini pemiliknya atas faktor tertentu dan ia hanya percuma sepanjang tempoh kempen.

“Semua haiwan itu akan diserahkan kepada pusat kebajikan haiwan terpilih atau individu untuk dijaga. MBSA akan menanggung kos rawatan seperti vaksin, pemandulan dan rawatan bagi haiwan sakit,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut merancang menjadikan semua kucing sebagai ‘keluarga angkat’, namun hanya selepas selesai proses vaksin, pemandulan dan kesihatan berada pada tahap terbaik.

Sementara itu, Norazlina Abu Kassim, 41, yang menghantar tiga kucing miliknya ke PUSTAWAN berkata, dia bukan sengaja tidak mahu membela haiwan berkenaan, namun mempunyai masalah kediaman.

“Rumah saya jenis pangsapuri dan saiz yang kecil mengehadkan pergerakan kucing yang kebanyakan masanya hanya berada dalam sangkar. Saya terpaksa menghantar kucing itu kerana mempunyai seekor lagi kucing sedang bunting,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 7:48 AM