Helmy Abd Rahman


BARANGAN keperluan asas bagi penduduk di seluruh Terengganu mencukupi sepanjang musim banjir yang dijangka melanda negeri ini tidak lama lagi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, semua 41 pemborong utama bagi barangan keperluan asas di negeri ini menunjukkan komitmen menyediakan stok mencukupi untuk berdepan musibah itu.

"Setiap daerah ada pemborong utama iaitu 18 di Kuala Terengganu, Kemaman (lima), Dungun (lapan) dan Besut (10) yang dibenarkan menambah sebanyak 20 peratus daripada stok sedia ada sepanjang tiga bulan sebelum dan tiga bulan selepas musim banjir bermula Oktober lalu hingga Mac 2018.

"Malah hasil pemeriksaan kita mendapati jika tidak ditambah 20 peratus sekalipun, stok sedia ada memang mencukupi untuk menghadapi banjir," katanya selepas mengadakan pemeriksaan mengikut Pelan Kontigensi Bencana Banjir KPDNKK Terengganu di premis pemborong utama, Shanghai Thong Chong di Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada pemborong utama di negeri ini supaya tidak mengambil kesempatan atas kesusahan rakyat dengan menaikkan harga barangan keperluan atau menyorokkan bekalan ketika musim banjir.

Menurutnya, KPDNKK negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan maksimum seandainya mengesan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan pemborong.

"Kita nak ingatkan pemborong utama supaya jangan ada usaha untuk menipu dengan menyorokkan stok barangan keperluan dan mengambil kesempatan atas kesusahan orang ramai ketika musim banjir.

"Mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, bagi syarikat yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan kedua serta berikutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 3:17 PM
Saharuddin (tiga dari kiri) meneliti bungkusan minyak masak ketika melakukan pemeriksaan di sebuah premis pemborong utama barang kawalan di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Rozainah Zakaria
Saharuddin (tiga dari kiri) meneliti bungkusan minyak masak ketika melakukan pemeriksaan di sebuah premis pemborong utama barang kawalan di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Rozainah Zakaria