Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak (tiga kanan) beramah mesra dengan penerima Ijazah Pengurusan Awam, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah (kiri) Ahli Parlimen Kangar, Ir Shaharuddin Ismail (dua kanan) dan bekas Senator Dewan Negara, Datuk Muhammad Olian Abdullah pada Majlis Konvokesyen ke-30 Universiti Utara Malaysia (UUM). FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak (tiga kanan) beramah mesra dengan penerima Ijazah Pengurusan Awam, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah (kiri) Ahli Parlimen Kangar, Ir Shaharuddin Ismail (dua kanan) dan bekas Senator Dewan Negara, Datuk Muhammad Olian Abdullah pada Majlis Konvokesyen ke-30 Universiti Utara Malaysia (UUM). FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Muhammad Mustakim Ramli


KESIBUKAN dalam bidang masing-masing bukan penghalang tiga graduan berstatus ‘VIP’ memperoleh Ijazah Sarjana Pengurusan Awam pada sesi kedua Majlis Konvokesyen ke-30 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, hari ini.

Mereka ialah Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah; Ahli Parlimen Kangar, Ir Shaharuddin Ismail dan bekas Senator Dewan Negara, Datuk Muhammad Olian Abdullah yang memperoleh ijazah selepas dua tahun bertungkus lumus menyiapkan kajian masing-masing.

Abdul Fatah ketika ditemui mengakui bahawa membahagikan masa antara kerjaya dengan pengajian bukannya mudah tetapi dengan sokongan keluarga dan ahli koperasi ia boleh direalisasikan.

“Saya belajar bukan mengikut masa sendiri tetapi masa pihak tertentu seperti ahli koperasi seluruh negara untuk melancarkan masa kerja semua pihak.

“Jadi waktu yang boleh saya peruntukkan untuk belajar dan menyiapkan bahan kajian hanyalah pada waktu malam,” katanya ketika ditemui, di Dewan Mu’adzam Shah.

Katanya, kajian bertajuk Kompetensi dalam Pengurusan Koperasi Sekolah akan digunakan sebagai rujukan kepada kementerian berkaitan dalam meningkatkan pendapatan koperasi sekolah khususnya dalam sasaran 50 koperasi sekolah mencapai perolehan RM1 juta pada 2020.

Sementara itu, Shaharudin ketika ditanya mengenai rahsianya dalam membahagikan tugas antara wakil rakyat dengan pelajar berkata, beliau ‘mencuri masa’ ketika perlu ke Parlimen.

“Ketika ada persidangan Dewan Rakyat saya akan pastikan diri hadir ke kelas di kampus UUM di Kuala Lumpur, itu sahaja masa yang saya ada untuk belajar dan ia perlu digunakan sebaik mungkin.

“Mengenai perancangan selepas ini, saya akan pastikan kajian bertajuk Kesedaran Penggunaan Tenaga Elektrik dalam Kalangan Warga Perlis akan dipratikkan kepada rakyat dalam memastikan mereka memperoleh faedah khususnya dalam menjimatkan kos,” katanya.

Bagi Muhammad Olian yang juga Ahli Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Plantation, langkah beliau meneruskan pengajian bagi menaikkan semangat masyarakat Orang Asli untuk belajar.

“Saya membuat kajian mengenai impak penyertaan masyarakat Orang Asli dalam tanaman semula secara komersial kerana ada suara sumbang mendakwa kaum ini tidak berjaya.

“Saya yang pernah mewakili Orang Asli ketika menjadi Ahli Dewan Negara mengambil inisiatif membuat kajian ini sama ada benar atau tidak dakwaan itu. Berdasarkan kajian yang dibuat sebelum dan selepas projek itu ternyata ia tidak benar,” katanya.

Ketiga-tiga mereka sebelum itu menerima ijazah bersama 642 graduan lain yang disampaikan oleh Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim yang juga Pro-Canselor UUM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 4:25 PM