Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria


TIGA lelaki dan seorang wanita dipercayai terbabit dalam kejadian culik, bunuh dan tanam pemilik kedai cuci kereta di Siliau, Port Dickson, Ahad lalu direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, permohonan reman dibuat Inspektor Mahafiz Mat Lawi dan dibenarkan Majistret Siti Khairiah Abd Razak sehingga Rabu ini.

Katanya, empat suspek berusia 22, 26, 29 dan 39 tahun disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Zainudin berkata, mangsa, B Sugumaran, 29 dilaporkan hilang dari premisnya di Ampangan, Seremban pada 13 September lalu sebelum mayatnya ditanam di sebuah kubur di Siliau.

Menurutnya, pihak polis yang menjalankan siasatan berjaya memberkas seorang lelaki sebelum ditunjukkan lokasi mayat ditanam.

"Sebaik menemui kubur mangsa, anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri mengoreknya semula pada jam 6 petang. Rentetan itu, lapan lelaki dan seorang wanita ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Zainudin berkata, semua suspek direman tujuh hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bermula 10 November lalu hingga semalam sebelum tempoh reman disambung pihaknya.

Sementara keempat-empat suspek yang berpakaian lokap berwarna jingga tiba di Mahkamah Majistret, di sini pada jam 9 pagi. Tiga daripada mereka diwakili tiga peguam, Paul Krishnaraja, S Kartikeyan dan Chong.

Harian Metro pada 13 November lalu melaporkan mayat Sugumaran ditemui ditanam di sebuah kubur di Siliau selepas dia dilaporkan hilang pada 13 September lalu.

Pemilik premis cuci kereta itu dipercayai dibunuh oleh kumpulan gangster yang tidak berpuas berkaitan teman wanita mangsa.

Berita berkaitan:

Penyelam jumpa pakaian mangsa bunuh

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 2:53 PM
EMPAT suspek di Mahkamah Majistret Port Dickson. FOTO Adzlan Sidek
EMPAT suspek di Mahkamah Majistret Port Dickson. FOTO Adzlan Sidek