Khan Amjad Ali, 21, diburu polis bagi membantu siasatan kematian dua warga asing. FOTO Ihsan PDRM
Khan Amjad Ali, 21, diburu polis bagi membantu siasatan kematian dua warga asing. FOTO Ihsan PDRM
Ramli Ibrahim


POLIS giat memburu warga Pakistan yang juga pekerja lombong bijih susulan kematian dua rakannya dalam kejadian di tapak lombong bijih besi di Aring, Gua Musang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, suspek dikenali Khan Amjad Ali, 21, dipercayai menghilangkan diri sejurus kejadian.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek masih berada di dalam negara dan usaha mengesannya giat dilakukan.

"Kita sedang kesannya untuk bantu siasatan kes ini. Suspek difahamkan baharu sebulan bekerja di tapak lombong itu.

"Dia menghilangkan diri selepas kematian mangsa, namun kita percaya dia tidak pergi jauh kerana tidak membawa bersama passport," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau juga meminta kerjasama orang ramai yang melihat lelaki itu supaya menghubungi pihaknya atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kejadian jam 11.25 pagi Isnin, dua lelaki iaitu warga Bangladesh, Mohamad Younus Ali, 38 dan warga Pakistan, Saleem Shah, 29, maut selepas tersepit dalam mesin basuh batu.

Mereka sebelum itu dikatakan sedang membaiki bilah palong cuci batu di dalam mesin, sebelum diarahkan keluar.

Bagaimanapun, sebelum sempat keluar, seorang pekerja lain membuka suis mesin mengakibatkan mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 6:11 PM