OPERASI mencari dan menyelamat, Wan Husin Wan Abdullah, 62, dilakukan pelbagai agensi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
OPERASI mencari dan menyelamat, Wan Husin Wan Abdullah, 62, dilakukan pelbagai agensi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Muhamaad Razis Ismail


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) pesara guru hilang yang masuk hari ketujuh hari ini di Kuala Besar, Kota Bharu, ditumpukan di kawasan pesisiran pantai.

Dalam kejadian 4.30 petang, 7 November lalu, bot yang dalam perjalanan pulang itu terbalik selepas dipukul ombak sebelum Wan Husin Wan Abdullah, 62, dan rakannya, Wan Zaidi Wan Hussin, 57, terpaksa berpaut pada bot selama tiga jam untuk menyelamatkan diri.

Wan Zaidi ditemui orang ramai dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas berenang selama sejam ke daratan manakala Wan Husin masih belum ditemui sehingga kini.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Kota Bharu Penguasa Bomba Kanan II Syobirin Abd Kadir berkata, operasi bermula seawal 7 pagi membabitkan pelbagai agensi.

"Kini tumpuan pencarian dijalankan di kawasan pesisiran pantai berikutan tiada petunjuk di laut.

"Bagaimanapun kita masih mencari di kawasan di sekitar lapan batu nautika ke arah timur dan barat dari pos kawalan, manakala pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih membuat pencarian 20 batu nautika dari pesisiran pantai," katanya ketika dihubungi, hari ini

Harian Metro sebelum ini melaporkan pesara guru itu turun ke laut bersama rakannya pada petang dan menangkap udang, sotong dan ikan selama satu jam sebelum bergerak ke darat.

Sebaik sampai di Kuala Besar, bot mereka terbalik selepas dipukul ombak dan mereka berpaut pada kepala bot selama tiga jam sebelum berpisah pada 7 malam.

Berita berkaitan

Semoga Cikgu ditemui selamat

Doa buat Wan Husin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 9:01 PM