Foto Fail
Foto Fail
BERNAMA

KAJIAN Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati pemandu di negara ini mengakui penggunaan telefon bimbit ketika memandu, faktor penyumbang kemalangan jalan raya.

Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata, majoriti rakyat Malaysia juga bersetuju penggunaan telefon bimbit ketika memandu boleh mempengaruhi tingkah laku pemanduan serta membahayakan diri mereka dan orang lain, namun mereka masih berbuat demikian.

Katanya, Miros melakukan kajian rawak tahun lalu terhadap 300 responden di Lembah Klang dan mendapati 43.4 peratus pengguna jalan raya menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan membonceng motosikal manakala 61.7 peratus pemandu menerima atau membuat panggilan telefon ketika memandu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali seminggu.

Kajian itu juga mendapati 53.6 peratus pemandu menggunakan telefon bimbit ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan 53 peratus pemandu menaip teks ketika memandu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali seminggu.

Lee berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Road Safety Run 2017 anjuran Miros dan Uber bersempena ulang tahun ke-10 penubuhan MIROS di Putrajaya, hari ini.

​​​​​​​Justeru, beliau berpendapat walaupun responden mengakui penggunaan telefon bimbit merupakan antara punca kemalangan, namun mereka enggan berubah sikap, kurang disiplin dan degil meneruskan tabiat itu.

“Segala-galanya berpunca daripada sikap. Saya berpendapat penguatkuasaan undang-undang jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia di negara ini perlu dipertingkatkan bagi memastikan pemandu memandu mengikut peraturan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 7:03 PM