Bangkok: Kebanyakan rakyat Thai berpendapat, permohonan bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra untuk ke luar negara perlu diputuskan oleh mahkamah, menurut hasil satu kajian pendapat.

Kajian yang dilakukan Institut Kebangsaan bagi Pembangunan Pentadbiran atau Nida Poll itu membabitkan 1,252 responden di seluruh negara.

Ia dilakukan pada Khamis dan Jumaat lalu untuk memperoleh pendapat mereka mengenai permohonan Yingluck untuk mendapatkan kebenaran pihak berkuasa Thai bagi membolehkan beliau ke luar negara.

Ditanya mengenai pendapat mereka berhubung permohonan Yingluck, 47.68 peratus berkata, ia perlu diputuskan mahkamah, 25.30% berpendapat kerajaan tidak sepatutnya membenarkan dia meninggalkan negara sehingga kes mahkamahnya selesai kerana bimbang dia mencari suaka politik di luar negara dan tidak pulang, 23.16 peratus berkata, kerajaan sepatutnya membenarkan dia pergi atas alasan ia hak individu dan 3.83 peratus responden tidak mengulas.

Ditanya sama ada Yingluck akan pulang jika dibenarkan ke luar negara, 35.22 peratus responden yakin dia kembali, 32.75 peratus percaya dia tidak pulang, 14.46 peratus yakin dia pulang tetapi tidak pada tarikh ditetapkan, 2.26 peratus berpendapat dia langsung tidak akan meninggalkan Thailand - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 5:09 AM