SULTAN Ibrahim
SULTAN Ibrahim
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: “Niat saya adalah untuk mengagihkan derma RM1 juta kepada 10 rumah anak yatim di Johor. Sama banyak dan sama adil,” titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar mengulas mengenai nazarnya untuk menderma sebanyak RM1 juta kepada rumah anak yatim di negeri ini.

Sultan Ibrahim bertitah, wang yang akan didermakan untuk anak yatim Bangsa Johor di negeri ini tanpa mengira keturunan.

“Wang ini akan diberikan kepada kerajaan negeri untuk diagihkan. Niat saya buat (nazar) disebabkan JDT (pasukan Johor Darul Ta’zim) menang Piala AFC.

“JDT (Johor DT) adalah milik Bangsa Johor, maka anak-anak Bangsa Johor yang memerlukan bantuan akan dibantu,” katanya dalam titahnya, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan susulan kejayaan pasukan Johor DT merangkul kejuaraan Piala AFC 2015, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar akan menunaikan nazarnya untuk menderma RM1 juta kepada rumah anak yatim di negeri itu.

Menerusi laman Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah, sekembalinya anakandanya Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor ke negeri ini pada 18 November ini, Piala AFC akan dipamerkan ke seluruh daerah supaya rakyat negeri ini dapat melihatnya sendiri.

Titah baginda, pasukan Johor DT adalah milik Bangsa Johor dan disebabkan kesetiaan penyokong, sudah membawa pasukan ke tahap ketika ini selain baginda menghargai sokongan padu serta doa yang diberikan.

“Alhamdulillah, Piala AFC kini milik kita! Kejayaan ini adalah berkat doa anda semua dan kesungguhan pemain bola sepak JDT yang bermain bermati-matian hingga ke tiupan wisel yang terakhir.

“Sebaik saja kita memenangi perlawanan akhir AFC, saya membuat panggilan telefon kepada anakanda saya, Tunku Mahkota Johor untuk mengucapkan tahniah kepadanya.

“Dia terlalu emosional dan menangis tetapi tangisan gembira. Dia memang begitu gembira. Memang, kalau boleh, dia hendak berada bersama-sama pasukan JDT dan penyokong merayakan kemenangan ini, tetapi dia terikat dengan janji yang dibuat terdahulu,” katanya Tunku Ismail turut menderma kepada semua masjid di Johor bagi menunaikan nazarnya sempena kemenangan JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:10 AM