Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah reman. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah reman. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Mohd Sabran Md Sani


MAHKAMAH Majistret Johor Bahru, hari ini, membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap Penolong Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor bagi membantu siasatan terhadap kes meminta dan menerima rasuah RM30,000.

Perintah dikeluarkan Majistret Mohd Azlan Shah Allias selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, suspek berusia 37 tahun yang berpakaian lokap SPRM dengan tangan bergari dilihat tiba di perkarangan mahkamah pada 1.55 tengah hari.

Sementara itu, sumber berkata, suspek disyaki meminta rasuah daripada seorang pengurus projek sebuah syarikat kejuruteraan petroleum supaya tidak diambil tindakan kerana memasang mesin angkat tanpa mendapat kebenaran JKKP Johor.

Menurutnya, suspek ditahan di sebuah hotel di Johor Bahru pada 2.40 petang semalam bagi membantu siasatan.

Katanya, dalam pemeriksaan di rumah suspek, pasukan penyiasat menjumpai wang tunai berjumlah RM18,505 disembunyikan di bilik dan bawah tangga kediaman suspek.

Turut dirampas beberapa dokumen berkaitan projek berkenaan.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan permohonan reman bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 4:28 PM