ZULKIFLI (tengah) pada sidang media selepas pelancaran Operasi MAHARLIKA di Sandakan, hari ini. FOTO Hazsyah Abdul Rahman.
ZULKIFLI (tengah) pada sidang media selepas pelancaran Operasi MAHARLIKA di Sandakan, hari ini. FOTO Hazsyah Abdul Rahman.
Hazsyah Abdul Rahman


MALAYSIA, Brunei, Indonesia dan Filipina hari ini melancarkan Operasi MAHARLIKA, operasi bersama bagi mengekang kemasukan Pejuang Pengganas Asing (FTF) ke negara masing-masing.

Operasi dua minggu bermula esok diadakan dengan kerjasama Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan bertujuan meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan negara terbabit dalam membanteras aktiviti berkenaan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, Operasi MAHARLIKA membantu meningkatkan keselamatan di sempadan negara masing-masing.

“Kita banyak bekerjasama dengan INTERPOL dalam pelbagai aspek sebelum ini, cuma dalam menangani FTF, ia yang pertama dilancarkan.

“Menerusi kerjasama ini, INTERPOL yang mengendalikan operasi akan membantu daripada segi latihan, penyediaan aset dan sistem data,” katanya kepada media selepas melancarkan Operasi MAHARLIKA INTERPOL di Sandakan, hari ini.

Hadir sama Pengarah Operasi Sokongan dan Analisis Pejabat Sekretariat INTERPOL Harald Arm, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali.

MAHARLIKA dalam bahasa Tagalog bermaksud pahlawan masyarakat Filipina di Luzon, Filipina.

Menerusi kerjasama ini, INTERPOL memberi kemudahan kepada Malaysia bagi mengakses 75 juta data individu bagi memastikan maklumat diperoleh dalam waktu nyata (real-time).

Zulkifli berkata, INTERPOL memberi kemudahan gajet mengandungi data individu sekali gus membolehkan anggota penguat kuasa menyemak rekod jenayah individu yang diperiksa ketika dalam operasi.

“Perkongsian maklumat sebegini sangat baik untuk menjamin keselamatan Sabah dengan tumpuan operasi di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 3:21 PM