NORAZAM (kiri) melihat keadaan rumah Abu Salleh (tengah) yang serba daif.
NORAZAM (kiri) melihat keadaan rumah Abu Salleh (tengah) yang serba daif.
HM Digital

Seremban: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mempertimbangkan bantuan bulanan bagi meringankan beban bapa tunggal yang tinggal bersama lima anaknya di sebuah rumah usang di Kampung Bukit Temiang, di sini.

Abu Salleh, 61, dan lima anak berusia 14 hingga 26 tahun terpaksa berteduh di rumah usang beratapkan langit kerana dihimpit kesusahan hidup sehingga tidak mampu menggantikan bumbung rumah yang bocor.

Pengarah JKM negeri Mohamad Hapil berkata, pihaknya sudah melawat keluarga terbabit dan menghulurkan bantuan segera berbentuk wang tunai RM300, pada Rabu lalu.

Katanya, JKM sedang menjalankan siasatan lanjut dan mengambil butiran keluarga itu untuk melihat jenis bantuan bulanan yang boleh diberikan.

“Bapa tunggal itu tidak pernah mengemukakan permohonan dengan pihak JKM, dan berkemungkinan mereka layak untuk mendapatkan bantuan sewajarnya.

“Kami amat mengharapkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) membantu dengan memaklumkan kepada JKM jika ada penduduk yang daif,” katanya.

LAPORAN Harian Metro, kelmarin.
LAPORAN Harian Metro, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Norazam Khamis berkata, pihaknya bersedia untuk menyenaraikan rumah itu untuk dibaik pulih di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sekiranya layak, tahun depan.

Namun, katanya, jika ada pihak yang sudi menyalurkan bantuan seperti barangan dan peralatan membaiki rumah berkenaan, JBPM bersedia menghantar anggota bagi melakukan kerja baik pulih itu.

Harian Metro semalam melaporkan, bumbung beratapkan langit dan kadangkala bermalam dalam kereta ketika hujan antara kehidupan dilalui bapa tunggal bersama lima anak yang terpaksa berteduh di sebuah rumah usang, sejak empat tahun lalu.

Keadaan rumah papan itu juga kelihatan semakin reput dan setiap ruang di dalam rumah hanya dipisahkan menerusi papan lapis selain beberapa kepingan atap sudah tiada.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 12:33 PM