SAWAH padi Kebun Bandar @ Cyberjaya mendapat tarikan ramai daripada kakitangan MPSepang. FOTO Samadi Ahmad
SAWAH padi Kebun Bandar @ Cyberjaya mendapat tarikan ramai daripada kakitangan MPSepang. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

Cyberjaya: Ingin mencipta kelainan serta memupuk minat kakitangan terhadap bidang pertanian menjadi faktor utama Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) merealisasikan projek penanaman padi dalam bandar.

Yang Di Pertua MPSepang Datuk Abd Hamid Hussain berkata, projek itu dimulakan pada 15 Oktober lalu dengan keluasan petak 137.5 meter persegi.

Menurutnya, jenis padi yang ditanam adalah MR297 Siraj yang diselia oleh Jabatan Landskap MPSepang.

"Sawah padi ini adalah projek rintis dan Alhamdulillah, berjaya dilaksanakan serta kami bercadang mengembangkannya selepas ini," katanya ketika ditemui pada program menuai padi di projek terbabit, baru-baru ini.

Program menuai itu diadakan secara tradisional menggunakan sabit dan padi dipukul bagi mengeluarkan beras.

Abd Hamid berkata, tujuan utama mewujudkan sawah padi itu adalah bagi mendedahkan suasana kampung di tengah bandar serta memberi pendedahan kepada generasi masa kini mengenai aktiviti sawah bendang.

Menurutnya, program itu juga dapat mewujudkan rantaian keterjaminan makanan dan tidak mustahil sawah padi boleh diwujudkan di tengah bandar menerusi sistem teknologi moden sekiranya diurus dengan betul.

Katanya, MPSepang turut menanam lebih 400 pokok buah-buahan dan membina sebuah kolam ikan di atas tanah seluas lebih dua hektar berhampiran pejabat.

"Pada masa depan, kita bercadang menambah plot petak padi kepada empat plot yang ditambahbaik dengan sistem pengairan yang moden serta bersepadu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 1:14 PM