Rakaman Toyota Unser yang dipandu melawan arus. FOTO ihsan pembaca
Rakaman Toyota Unser yang dipandu melawan arus. FOTO ihsan pembaca
Shamsul Munir Safini


POLIS mohon saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kenderaan dipandu melawan arus di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth pada 3.30 pagi hari ini, tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian itu, Toyota Unser berwarna emas dirakam dipandu secara melawan arus dari tol arah Bagan Ajam menghala ke kawasan jeti feri.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan dan tidak teragak-agak untuk menahan pemandu kerana tindakannya membahayakan pengguna jalan lain.

Menurutnya, polis sedang mengesan pemandu berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Berdasarkan rakaman berdurasi lebih dua minit itu, seorang penunggang motosikal sempat merakam aksi bahaya pemandu berkenaan sebelum mengambil nombor pendaftarannya.

Menerusi keterangan yang dimuatnaik pada video berkenaan, pemandu kereta berusia 20-an itu memberi alasan terlupa menambah nilai kad touch and go miliknya sebelum bertindak berpatah balik dan memandu secara lawan arus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 3:32 PM