Abdul Fattah Mahmood ditemuramah wartawan mengenai isu pemindahan Pasar Besar Pasir Puteh selepas mesyuarat exco di Kompleks Darul Naim. Gambar Zaman Huri Isa
Abdul Fattah Mahmood ditemuramah wartawan mengenai isu pemindahan Pasar Besar Pasir Puteh selepas mesyuarat exco di Kompleks Darul Naim. Gambar Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KERAJAAN Kelantan sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan laporan peniaga Pasar Besar Pasir Puteh berhubung pembinaan Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh Sentral didakwa mempunyai unsur penyelewengan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka dan sedia disiasat.

Katanya, lebih 300 peniaga Pasar Besar Pasir Puteh sudah setuju untuk berpindah ke Pasar Siti Hajar yang baru siap dibina.

"Kita ambil langkah yang tepat dan beri tempoh yang cukup kepada peniaga untuk berpindah ke pasar baru dengan keluasan petak jualan 6x6 kaki persegi.

"Kita juga memberi kebenaran kepada peniaga untuk mengubah suai pasar baru kepada saiz yang lebih selesa.

"Kerajaan negeri mahu memberi peluang kepada peniaga untuk meningkatkan pendapatan di pasar baru kerana mempunyai pelbagai kemudahan yang lebih selesa," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Abdul Fattah berkata, sepatutnya peniaga dari Pasar Besar Pasir Puteh berpindah ke Pasar Siti Hajar pada Ramadan lalu untuk menjana pendapatan yang lebih baik namun kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan ada pihak yang menghasut.

"Ada parti politik seolah-olah mahu jadi hero untuk membantu rakyat apabila membawa isu peniaga Pasar Besar Pasir Puteh hingga mereka tidak mahu pindah (Pasar Siti Hajar)," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan lebih 500 peniaga kecil Pasar Besar Pasir Puteh memohon SPRM menjalankan siasatan terhadap pembinaan Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh Sentral yang baru siap dibina.

Peniaga mendakwa pembinaan pasar menelan belanja sehingga RM6.1 juta itu meragukan kerana tidak memberi keselesaan kepada peniaga dan pengguna berikutan petak jualan sempit dengan hanya berukuran 3x5 kaki persegi.

Berita berkaitan

'SPRM tolonglah siasat'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 4:52 PM