WAN Mohd (kanan)  pada Majlis Perasmian Kempen Keselamatan, Kebakaran dan Pameran Inovasi 2017, semalam.
WAN Mohd (kanan) pada Majlis Perasmian Kempen Keselamatan, Kebakaran dan Pameran Inovasi 2017, semalam.
HM Digital

Kuantan: Kira-kira 50 peratus daripada 956 pusat pengajian Islam termasuk tahfiz di seluruh negara yang diperiksa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sejak September lalu berada dalam keadaan tidak selamat dan perlu ditambah baik.

Menurut Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, pihaknya juga sudah mengeluarkan sebanyak 389 notis kepada pusat-pusat tahfiz yang tidak mengikut piawaian tahap keselamatan yang ditetapkan.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan oleh pusat tahfiz terbabit termasuk tidak mempunyai pemadam api mencukupi selain laluan keluar tidak selamat.

“Pemilik pusat-pusat tahfiz itu akan diberikan masa untuk menambahbaik mengikut undang-undang dan spesifikasi keselamatan bangunan yang ditentukan pihak keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Kempen Keselamatan, Kebakaran dan Pameran Inovasi 2017, di sini, semalam.

Katanya, pemeriksaan itu juga mendapati 291 pusat tahfiz tidak mempunyai alat keselamatan kebakaran mencukupi, manakala antara kesalahan lain turut diambil perhatian ialah penyediaan laluan keluar mencukupi dan selamat jika berlaku kebakaran.

“Dengan itu, pihak bomba terpaksa mengeluarkan notis mengikut perundangan supaya operasi pusat berkenaan dan penghuninya berada dalam keadaan selamat. Jika mereka gagal mengikut arahan mengikut tempoh ditetapkan, kes mereka akan dibawa ke mahkamah” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 9:10 AM