Keadaan di pusat perniagaan Nilai 3 yang lengang. FOTO arkib NSTP
Keadaan di pusat perniagaan Nilai 3 yang lengang. FOTO arkib NSTP
Khairul Najib Asarulah Khan


PUSAT Perniagaan Nilai 3 akan melalui penstrukturan semula bagi menarik pengunjung menjadikan kawasan itu pilihan utama membeli kelengkapan perkahwinan dan permaidani.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan berkata, ini berikutan kawasan terbabit kurang mendapat sambutan berbanding ketika awal pembukaannya.

Katanya, kerajaan negeri sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan menyelaras kawasan itu sebagai tarikan pelancong untuk membeli-belah.

"Kita mahukan pembaharuan dilakukan supaya pusat perniagaan itu kembali popular dan menjadi lokasi utama pilihan barangan persiapan perkahwinan dan permaidani dengan kualiti yang baik dan harga murah.

"Dulu banyak rombongan bas datang berbanding kini yang semakin sepi dengan kehadiran pengunjung," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Landskap Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Aplikasi Mobile Aduan dan Kompaun Letak Kereta MPS di Dewan MPS, hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua MPS/MPN Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, pihaknya sudah menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau segala aspek bagi pembangunan semula pusat perniagaan itu.

"Kita memperkemaskan dan mengindahkannya dengan membuat landskap di kawasan itu serta membangunkan premis makanan tradisi masyarakat Negeri Sembilan sebagai tambah nilai di kawasan berkenaan.

"Pada peringkat awal, MPN memperuntukkan RM3 juta untuk membangunkan premis makanan dengan projek bermula tahun depan.

"Kita juga akan bertemu dengan syarikat mengendalikan kawasan itu termasuk peniaga untuk mengaturkan pelbagai program bagi menarik pengunjung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 6:49 PM