Mohd Zaki (tujuh kiri) dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Osman Abu Bakar (empat kanan) bersama kakitangan selepas majlis  Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Pelancaran Buku Kod Etika & Tatakelakuan Majlis Daerah Hulu Terengganu. FOTO ROZAINAH ZAKARIA
Mohd Zaki (tujuh kiri) dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Osman Abu Bakar (empat kanan) bersama kakitangan selepas majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Pelancaran Buku Kod Etika & Tatakelakuan Majlis Daerah Hulu Terengganu. FOTO ROZAINAH ZAKARIA
Nazdy Harun


SEBANYAK 33 kes membabitkan penyelewengan penjawat awam di Terengganu sudah dibawa ke mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Januari lalu manakala 11 kes lagi bakal dituduh dalam masa terdekat.

Pengarah SPRM Terengganu Mohd Zaki Hassan berkata, kesemua 44 kes terbabit membabitkan penyelewengan yang berjumlah RM362,618.

Menurutnya, pihaknya mendapati kes membabitkan penjawat awam di negeri itu melebihi 50 peratus daripada jumlah tangkapan dan siasatan yang dilakukan pihaknya.

Katanya, ia memang ada menunjukkan peningkatan jumlah kes yang berlaku dan bilangan pertuduhan di mahkamah juga bertambah berbanding sepanjang tahun lalu iaitu 15 tangkapan dan 18 tuduhan dilakukan.

"Bagaimanapun, statistik terbabit menunjukkan gejala rasuah di negeri ini masih terkawal tetapi semua pihak harus memainkan peranan dalam menangani gejala rasuah yang jelas boleh merosakkan sesebuah negeri, negara dan rakyatnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Pelancaran Buku Kod Etika dan Tatakelakuan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) di Dewan MDHT di Kuala Berang, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MDHT Osman A Bakar.

Mengulas mengenai pelancaran Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) oleh SPRM pada Ogos lalu, Mohd Zaki berkata, ia antara penyumbang kepada peningkatan penyaluran maklumat di negeri itu selepas masyarakat turut memainkan peranan penting dalam membasmi gejala berkenaan.

Katanya, hingga kini terdapat seramai 4,635 orang sudah mendaftar untuk menyertai GERAH dan dijangka sehingga hujung tahun ini jumlahnya akan mencecah 10,000 orang.

"Ia menunjukkan bahawa masyarakat ketika ini amat sensitif terhadap gejala rasuah dan sudah mahu menjalinkan kerjasama dengan SPRM.

"Kami berharap setiap perlakuan rasuah dapat ditangani bersama iaitu melalui cara kesedaran dan juga penyaluran maklumat terhadap salah laku rasuah sama ada dalam kalangan penjawat awam atau individu.

"Tabiat buruk perlakuan rasuah akan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian di atas perbuatan tidak bertanggungjawab itu," katanya.

#kw kes rasuah Terengganu, SPRM

#loc 5.0738370000000002, 103.01270289999999

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 8:17 PM